Persatuan Bahasa Arab
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Mengapa Belajar Arab?

Go down

Mengapa Belajar Arab? Empty Mengapa Belajar Arab?

Post  Silaturrahim Wed Dec 24, 2008 11:29 am

HARI ini, kalau kita membeli kereta baru, komputer, televisyen, mesin basuh, peti ais dan lain-lain yang baru pasti kita akan dibekalkan sebuah buku panduan. Dalam buku panduan, dinyatakan berbagai nama komponen tertentu, fungsi dan cara menggunakan alatan tersebut dengan betul. Biasanya buku panduan ditulis menggunakan bahasa utama pengeluar alatan itu. Ini diikuti dengan terjemahan dalam bahasa-bahasa lain.

Persoalannya, bagaimana kita dapat menggunakan dan memperbaiki alatan tersebut jika kita tidak dapat memahami bahasa yang digunakan. Umpamanya, buku panduan tentang penggunaan enjin kereta dalam bahasa Jepun yang menggunakan 100 peratus tulisan Jepun? Sudah tentu seseorang yang tidak memahami bahasa Jepun tidak akan dapat membaiki enjin dengan betul. Yang mungkin difahami cuma bahagian yang melibatkan gambar sahaja.

Jadi, marilah kita renungkan bersama secara mendalam pula senario yang lebih besar daripada itu. Allah s.w.t. menjadikan muka bumi ini sebagai kegunaan khalifah-Nya iaitu makhluk bergelar manusia. Persoalannya, adakah Allah bekalkan buku panduan bagaimana menggunakan bumi dan prasarana alam yang terbentang luas ini?

Jawapannya sudah tentu ‘ya’. Panduan itu tidak lain dan tidak bukan ialah al-Quran. Di dalamnya terdapat pelbagai panduan dalam semua bidang kehidupan sama ada akidah, ekonomi, pengurusan, kemasyarakatan, keilmuan, kebudayaan, kemajuan dan sebagainya.

Pokok perbincangan ialah bagaimana kita dapat mengadaptasi apa yang terkandung dalam al-Quran jika kita tidak dapat memahami bahasa yang digunakan. Oleh kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sama ada mahu atau tidak, kita perlu belajar bahasa Arab.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berusaha dengan segala kekuatan yang ada di samping prasarana yang semakin hari semakin canggih untuk sama-sama menguasai bahasa antarabangsa yang penting ini.

Marilah kita fikirkan ungkapan ringkas ini, "kalau kita menguasai bahasa Melayu kita boleh mendapat segulung ijazah. Kalau kita menguasai bahasa Inggeris kita boleh bersaing dengan negara maju. Kalau kita menguasai bahasa Arab (mampu menterjemahkan dan mengadaptasi ilmu-ilmu al-Quran dalam kehidupan) kita boleh mengatasi negara maju."

Ungkapan ringkas ini bukan bermaksud untuk memperkecil-kecilkan bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi negara kita. Ungkapan ini sebenarnya satu motivasi yang dijangka dapat menyuntik semangat kepada kita untuk menguasai sekurang-kurang tiga bahasa tersebut sebagai asas permulaan.

Kalau kita menguasai Bahasa Melayu kita mungkin mampu mendapat segulung ijazah yang kita inginkan. Ini kerana kursus-kursus peringkat ijazah sarjana muda yang ditawarkan di beberapa universiti di negara ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Justeru itu, kalau kita tidak dapat menguasai bahasa lain seperti bahasa Inggeris, maka kita masih mampu mendapatkan segulung ijazah tersebut.

Walau bagaimanapun, berbekalkan segulung ijazah tersebut belum memadai untuk kita memperoleh kerjaya yang diingini. Ini kerana kita perlu bersaing dengan ribuan siswazah lain yang turut memiliki segulung ijazah yang setaraf dengan kita. Oleh itu kemahiran menguasai bahasa Inggeris amat diperlukan.

Sehubungan itu dalam arus globalisasi ini, kalau kita menguasai bahasa Inggeris kita boleh bersaing dengan negara maju. Tahukah kita apakah yang dimaksudkan dengan boleh bersaing? Itupun berapa orang di kalangan rakyat Malaysia yang betul-betul boleh menguasai bahasa Inggeris? Kalau pun boleh, kita masih lagi hanya bersaing!

Bersaing maknanya masih seiring. Kalau lumba lari acara pecut 100 meter, kita hanya boleh bersaing dan tidak ketinggalan jauh ke belakang berbanding pelumba pertama. Namun kita masih lagi belum boleh menjadi pelumba yang pertama.

Persoalannya, bagaimana kalau kita mampu menguasai bahasa Arab? Adakah kita boleh mengatasi negara maju? Jawapannya sudah tentu ‘ya’ tetapi dengan satu syarat. Syaratnya, kita menguasai bahasa Arab supaya mampu menterjemahkan dan mengadaptasi ilmu-ilmu al-Quran dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kita.

Maksudnya di sini, kita boleh membawa al-Quran ke kilang-kilang bukan sekadar membawa mashafnya untuk dibaca tetapi lebih daripada itu. Kita sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk meningkatkan produktiviti kilang. Bagaimana caranya? Sudah tentulah memerlukan penyelidikan yang berterusan.

Untuk menafsir al-Quran dalam bidang yang diceburi sangat memerlukan penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan. Salah satu ilmu yang merupakan kuncinya miftahul ilmi ialah ilmu bahasa Arab.

Jadi, menguasai bahasa Arab dengan baik adalah salah satu syarat yang diperlukan untuk kita menterjemah al-Quran dalam bidang yang kita ceburi. Tanpa penguasaan yang baik sudah pasti hasil yang diperoleh juga kurang memberangsangkan. Untuk menguasainya sudah tentu memerlukan perancangan dan persiapan rapi.

Oleh itu mahu atau tidak, kita terpaksa belajar menguasai bahasa Arab. Seterusnya, belajar bagaimana menguasai bahasa tersebut dan menggunakan kepakaran itu untuk meneroka ilmu Allah yang Maha Luas ini.

Akhirnya, renungkanlah dan sahutlah cabaran kata-kata ini. "Hari ini kebanyakan orang Islam masih lagi belajar membaca ketika orang Barat sudah jauh ke hadapan iaitu membaca untuk belajar."
Smile
Sumber: Utusan Malaysia (17 Ogos 2006)
Silaturrahim
Silaturrahim
Administrator
Administrator

Number of posts : 4
Lokasi : Menjalar di atas muka bumi
Pekerjaan : Pelajar
Amaran :
Mengapa Belajar Arab? Left_bar_bleue0 / 1000 / 100Mengapa Belajar Arab? Right_bar_bleue

Registration date : 22/11/2008

https://pbaupsi.forumms.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum